24 May
Teknik Penulisan Isi Karangan

Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.

Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai.




Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. (A1) Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . (A3) Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. (A2) Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. (A4) Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. (A3) Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. (A4) Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu. (A5)


TEKNIK DEDUKTIF

Teknik deduktif merupakan penulisan yang dimulai dengan suatu pernyataan yang umum dan kemudia diikuti oleh pernyataan khusus. Pernyataan umum diletakkan pada permulaan perenggan(pada ayat pertama perenggan), manakala ayat yang menyokong pernyataan khusus hadir kemudian. Teknik deduktif ini juga dikenali sebagai piramid terbalik.



PU= Pernyataan Umum

PK= Pernyataan Khusus

Contoh perenggan yang menggunakan teknik deduktif:

Kes ponteng sekolah berlaku disebabkan sikap negatif ibu bapa. Sebagai bukti, ibu bapa tidak pernah menghubungi pihak sekolah untuk bertanyakan sama ada anak mereka hadir ke sekolah atau tidak. Mereka juga tidak pernah mengambil tahu sama ada anak mereka membuat kerja rumah atau tidak. Mereka menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini. Terdapat juga ibu bapa yang langsung tidak berkomunikasi dengan anak-anak mereka tentang hal persekolahan.


TEKNIK INDUKTIF

Teknik induktif ialah penulisan yang dimulai oleh pernyataan khusus dan diakhiri oleh pernyataan umum. Pernyataan umum dalam teknik induktif diletakkan pada bahagian akhir perenggan.

Contoh perenggan yang menggunakan teknik induktif:

Terdapat juga ibu bapa yang langsung tidak berkomunikasi dengan anak-anak mereka tentang hal persekolahan. Mereka menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini. Mereka juga tidak pernah mengambil tahu sama ada anak mereka membuat kerja rumah atau tidak. Sebagai bukti, ibu bapa tidak pernah menghubungi pihak sekolah untuk bertanyakan sama ada anak mereka hadir ke sekolah atau tidak. Oleh itu, kes ponteng sekolah yang semakin berleluasa memang berpunca daripada sikap ibu bapa.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING